Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah..lme xupdate blog nih..tebal doh sawang cni..hoho..xtau gapo nk tulis doh..heeee..tp meh le kite citer something cket..pasai CINTA..
krik..krik..krik..!! >.<
'VALENTINE DAY'
Melihatkan
sahaja tulisan itu pada akhbar yang aku baca, sekonyong-konyong aku sedar, aku
pernah berada di situ. Aku pernah berpenampilan resah hanya untuk hadir pada
tarikh 14 Februari, Aku pernah mengewap gusar pada rasa hari Valentine, dan
hari ini, kenangan itu menggeser lagi.
Muda.
Apa
yang aku ingat, waktu itu aku masih muda, baru usai SPM. Aku menandai garis
waktu itu, dengan muzik kegemaran aku. Sebagai gadis Melayu, aku tetap
bermegah-megah dengan bahasa aku. Maka, kumpulan Slam, Ukay, Spring, adalah
muzik yang tidak pernah berhenti bergemerencang dalam telinga. Lagu-lagunya,
menjunjung cinta hingga ke bintang, bait rindunya dibenamkan hingga ke jurang
Mariana, namun apa yang aku tidak tahu, lagu-lagu itu juga yang
berdingkit-dingkit mendorong aku bagi mendamba cinta lelaki.
Masih
remaja, masih muda, dan segala-galanya terlihat sangat luar biasa, lalu semuanya
mahu dicuba. Dan akhirnya, aku jatuh cinta kepada lelaki itu.
Lelaki.
Aku
menemuinya di rumah ibu saudara. Diberitahu, bahawa lelaki itu anak angkatnya,
dan dia belajar tinggi di luar negara.
Pada
pertama kali menatapnya, aduhai, perasaan aku terus berasa hening, sepertinya
aku berangkat ke pulau tiada penghuni. Dan apabila dia tersenyum, ia melahap
mentah-mentah jiwa aku.
Benarlah
kata bijak pandai, cinta itu adalah kemenangan khayalan ke atas akal fikiran.
Hanya dengan khayalan aku akan bahagia dengan lelaki itu, aku berani mengatakan
aku sudah jatuh cinta.
Mujur,
aku masih diyakinkan dengan satu lagi kata bijaksana, cinta akan hilang
keindahannya, apabila tidak lagi dirahsiakan. Namun yang paling utama, waktu
itu sebenarnya aku masih malu. Ya, aku perempuan, dan pasti malu itu adalah
sesuatu yang sangat wajar.
Itulah
bencana kepada perempuan pemalu yang jatuh hati. Ia akan menyeksa hati dengan
hasrat yang diperam-peram. Namun, ia juga adalah kemujuran yang sangat besar,
kerana pada ketika akal sudah kalah pada khayalan, pada ketika ajaran agama
sudah dipermudah-mudahkan, masih ada benteng halus yang bernama malu, yang
menjadi benteng akhir kepada iman.
Itulah
seksanya. Mahu diluah, malu, mahu dibiarkan, terasa seksa. Dan pada ketika
dunia terasa seperti digelapkan oleh awan hitam yang bernama cinta, hadirlah
hari itu, 14 Februari, hari Valentine.
14
Februari.
Waktu
itu, dengan hati yang sudah bengkak-bengkak menahan rasa cinta, aku duduk di
sebelah ibu. Aku ingat lagi, waktu itu hujan renyai, sejuk, aku merapat dengan
ibu bagi mendapatkan haba dan kasih, sambil mata memandang ke televisyen, yang
ada rancangan berbicara berkenaan hari Valentine.
Akal
aku waktu itu berputar. Aku tahu, aku boleh menggunakan situasi ini bagi
mendapatkan sesuatu daripada ibu berkenaan cinta. Paling tinggi, ibu memberi
restunya, atau yang paling bawah, ibu berkata, "jangan bercinta, habiskan
dahulu pelajaranmu", dan aku boleh meneruskan hidup dengan alasan, 'aku
tidak akan bercinta selagi belum habis belajar kerana itulah pesan ibu'.
"Memang
hari Valentine adalah hari orang Islam Sepanyol disembelih?" soal aku,
memulakan bicara.
"Entahlah.
Ibu tidak tahu. Bukan kamu tidak tahu, ada berbagai-bagai versi berkenaannya.
Namun, walau banyak versi sekalipun, ia tetap tidak menutup ruang bagi umat
Islam menyambut Valentine," jelas ibu, sehingga aku sedikit terkejut
bercampur lucu, kerana jarang sekali ibu bicara begitu serius, selain pada
waktu aku berbuat salah.
"Mengapa
ibu nampak serius?" Aku tergelak kecil.
"Kerana
kamu." Ibu memandang aku, dan aku tahu, itu pandangan penuh kasih sehingga
aku boleh berasa hangatnya pandangan itu dalam hati.
"Mengapa
saya?"
Seketika
aku menjadi gusar. Adakah ibu tahu rahsia hati aku?
"Kamu
perempuan, kamu masih muda, ada rupa, dan pasti ada ramai lelaki yang
menjeling. Namun paling ibu risaukan, adalah hati kamu kerana ibu tidak mampu
menjaga mahunya. Dan pasti, pada suatu ketika kamu akan jatuh cinta, dan pada
ketika kamu jatuh cinta, ibu menjadi sangat khuatir." Mata ibu
menceritakan apa yang diucapnya itu, adalah sangat dia maksudkan.
"Maksud
ibu?" Aku kembali semakin ragu-ragu.
"Ibu
setuju dengan semua perkara yang diperbuat pandai agama bagi menghalang budaya
sambutan Valentine, tetapi secara tidak sedar, mereka menjadikan hari valentine
itu sangat istimewa." Ibu semakin fasih bicaranya. Dan aku semakin tidak
tahu ke mana ibu mahu membawa bicara seperti itu. Aku angguk kemudian diam.
Ibu
tahu reaksi itu, itulah reaksi aku yang tidak faham.
"Istimewa
itu bukan sekadar bermaksud kepada perkara yang diraikan, tetapi istimewa itu
juga adalah pada perkara yang dilarang. Tidak ada masalah melarang hari
Valentine bagi disambut, tetapi tanpa sedar ia akan membuatkan hari Valentine
menjadi semakin istimewa, kerana kita hanya melarang hari, tetapi tidak menghilangkan
maksud hari itu. Menghalang, menjadikan Valentine terasa istimewa, dan maksud
hari itu ikut terasa istimewa. Dengan itu, pasangan kekasih boleh menyambut
'hari Valentine' pada setiap hari kerana ia dianggap istimewa. Jadi, walaupun
kita berjaya pada 14 Februari, belum ada jaminan kita berjaya pada 15 Februari
dan seterusnya." Ibu berhenti, menarik nafas selepas penerangan yang
panjang.
Bagi
menunjukkan kasih, aku bertanya juga, "Jadi, apa yang ibu mahu
cadangkan?"
Ibu
diam. Jelas dia mengatur bicara, sebelum dengan tatap kasih dia memandang aku.
"Ibu
mahu menjaga kamu dahulu."
"Menjaga
saya?" Aku mengerut dahi.
"Ya,
menjaga kamu dengan memberitahu kamu sesuatu berkenaan cinta, supaya kamu
mengerti bahawa cinta itu adalah sangat biasa. Tidak ada apa-apa istimewanya
berkenaan cinta. Cinta itu sama biasanya dengan kuku yang boleh tumbuh selepas
dipotong. Dan di situlah silapnya banyak manusia, kerana menganggap perasaan
cinta itu sangat istimewa. Mereka menyangjungnya sampai hilang akal, kerana
mereka tidak sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa. Dan kamu sendiri, adakah
kamu sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa?"
Aku
menggeleng, dan ibu terus menyambung,
"Manusia
apabila sudah tidak sanggup kehilangan yang istimewa, mereka akan berbuat apa
sahaja. Mereka menganggap ia sesuatu yang ajaib, padahal itu cumalah ilusi. Dan
lebih menakutkan, pada ketika manusia menganggap cinta bukanlah berkenaan apa
yang kita peroleh, tetapi adalah berkenaan apa yang kita beri, iaitu
segala-galanya. Pada ketika tahap itu, maruah akan kita beri, keingkaran agama
akan kita beri, dan iman juga akan kita tukarkan kepada cinta. Sedangkan, iman
itulah yang perlu dianggap istimewa, bukannya cinta," jelas ibu, dan ada
yang aku setuju walaupun banyak yang aku keliru.
"Jadi
mengapa orang mengatakan cinta itu istimewa? Malah orang-orang pandai agama
juga berkata begitu."
Dengan
wajah tersenyum ibu memandang aku, "Anakku, cinta itu sangat biasa, kerana
semua orang akan melalui perasaan cinta, tetapi tidak semua orang akan
menikmati perasaan cinta, dan pada ketika cinta mampu dinikmatilah, barulah ia
menjadi istimewa."
Aku
pandang ibu, ibu terus-terusan tersenyum.
"Ibu
sudah memberitahu kamu, iman lah yang perlu dianggap istimewa. Apa sahaja
perkara baik yang dicampurkan dengan 'istimewa' akan menjadikan ia 'istimewa'.
Begitu jugalah cinta. Cinta itu sangat biasa, tetapi apabila ia dicampurkan
dengan 'iman' barulah ia menjadi cinta yang istimewa. Kamu tahu mengapa ia
istimewa?"
Aku
diam, keliru.
"Kerana,
dengan campuran iman dan cinta, iman akan bertambah-tambah dan paling nikmat,
adalah rasa cinta itu juga semakin bertambah banyak. Dan kamu tahu bagaimana
kita mengenal cinta itu semakin banyak? Apabila, pasangan tadi tidak berhenti
berusaha membahagiakan pasangannya. Sekiranya dahulu sering SMS, selepas nikah
tetap berusaha SMS. Begitu jugalah sebaliknya, cinta akan terhenti apabila, ada
antara pasangan sudah berhenti berusaha."
Aku
mengerti bicara ibu itu, tetapi aku masih tidak mampu mengaitkannya dengan hari
Valentine. Namun, tetap juga kata-kata ibu itu melegakan cinta dalam hati aku.
Rupa-rupanya, ia cuma perasaan biasa, hanya kerana aku menganggapnya ia
istimewa, maka aku berasa sangat tertekan.
"Itulah,
yang ibu harapkan kepada bijak pandai agama. Melarang itu sudah betul, namun
sekiranya terhenti setakat melarang, ia cuma menjadikan hari Valentine itu
istimewa. Bijak pandai agama, selepas bercerita berkenaan asal-usul hari
Valentine yang banyak versi itu, ceritakanlah juga berkenaan cinta Islam yang
hanya ada satu versi. Ceritakanlah, berkenaan psikologi cinta, supaya ramai
tahu, cinta itu sangat biasa, tidak perlu disambut, tidak perlu Valentine,
tetapi ia perlu dinikmati, dan hanya ada satu cara menikmati cinta, iaitu
bernikah. Dan ingatlah anakku, cinta itu buta, dan nikah akan kembali
membuka matamu."
Aku
tersenyum lebar, dan seketika, aku kembali tenang, aku berasa seperti burung
yang terbang di bawah pelangi pagi.
"Kalau
saya jatuh cinta, bagaimana?" Aku mula berani mengusik ibu.
"Kalau
kamu jatuh cinta, jadilah perempuan baik yang bercinta."
"Perempuan
baik yang bercinta?" Aku pula kembali terasa diusik, apatah lagi melihat
ibu menyuntingkan senyuman nakal.
"Perempuan
baik itu adalah suatu proses. Jangan sesekali mencuba menjadi perempuan baik
hanya dalam masa sehari, tetapi berusahalah menjadi perempuan baik sampai kamu
mati. Kerana, pasti orang seperti kita ada melakukan dosa, tetapi bangkitlah
kembali dengan taubat. Itulah perempuan baik bagi ibu, iaitu perempuan yang
sentiasa berusaha menjadi hamba kepada Allah yang taat. Dan taat kepada Allah,
kamu tahu ia bukan sekadar satu dua perkara, tetapi ribuan perkara, meliputi
hal ayah ibu, suami, anak, jiran, ibadah, menjaga maruah, menjaga mulut,
taubat, dan banyak lagi. Itulah perempuan baik bagi ibu, perempuan yang sentiasa
berusaha ke arah perkara yang baik-baik."
"Dan
bercinta pula?" soal aku malu-malu.
Ibu
tersenyum lebar, lalu berkata, "Sukar sebenarnya. Tetapi tetap ada petua.
Pada ketika kamu menerima lamaran seorang lelaki, pada ketika itulah kamu
periksa kata-kata, yang mula-mula keluar daripada hati kamu. Perempuan biasa
yang bercinta akan berkata dalam hati, "Aku cintakan dia, sebab itu
aku perlukan dia." Sedangkan perempuan baik, dalam hatinya akan berkata
begini, "Aku perlukan dia, sebab itulah aku cintakan dia." Pada
ketika 'perlu' yang datang terlebih dahulu sebelum cinta, kamu ada peluang
menjadi perempuan baik yang bercinta. Kemudian semak maksud 'perlu' dalam hati
kamu. Adakah kamu perlu lelaki beriman yang dapat membimbing, ataupun perlu
kepada lelaki kaya yang dapat menyenangkan. Sekiranya kamu 'perlu' kepada
lelaki beriman yang membimbing, kamu adalah perempuan baik yang bercinta."
Aku
terus memeluk ibu erat-erat, aku cium pipi ibu, dan ibu cium dahi aku lalu
berkata, "Ingat, kamu adalah harapan ibu, bukan sekadar di dunia tetapi di
akhirat sana. Jadilah perempuan baik, bukan kerana ibu, tetapi kerana Allah,
kerana ibu juga sangat menyayangi kamu seadanya kamu, kerana Allah."
No comments:
Post a Comment