selamat datang..!!!

Wednesday, October 24, 2012


Wahai teman-teman sekalian,

Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman dengan-Nya. Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri untuk hari-hari kemudian.

Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita. Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa, dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti. Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya, dan dialah orangnya.

Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh. Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir
beberapa kali.

Saya mula mengenali si dia apabila kami sama-sama terpilih untuk mengendalikan sebuah organisasi penting di tempat kami belajar. Ditakdirkan Allah s.w.t, dia menjadi pembantu saya. Dari situlah perkenalan kami bermula.

Dia seperti yang telah saya ceritakan, bertudung labuh dan sentiasa mengambil berat tentang auratnya terutama stokin kaki dan tangannya. Itulah perkara pertama yang membuatkan saya tertarik padanya. Dia amat berhati-hati dalam mengatur butir bicaranya, bersopan-santun dalam mengatur langkahnya, wajah yang sentiasa berseri dengan iman dan senyuman, dan tidak pernah ke mana-mana tanpa berteman. Suaranya amat sukar kedengaran dalam mesyuarat kerana dia hanya bersuara ketika suaranya diperlukan dan tidak sebelum itu. Saya melihat dia sebagai seorang mukminah solehah yang amat menjaga peribadinya dan maruah dirinya. Saya tidak pernah bercakap-cakap dengannya kecuali dia punya teman di sisi dan atas urusan rasmi tanpa dipanjangkan-panjangkan. Saya seorang yang amat kuat bersembang dan sentiasa punya modal untuk berbual-bual seperti kata teman saya, tetapi dengan dia saya menjadi amat pemalu dan amat menjaga. Bagi saya, itulah wajah sebenar seorang wanita solehah. Dia mampu mengingatkan orang lain dengan hanya menjadi dirinya, tanpa perlu berkata-kata walau sepatah.

Pada hari terakhir saya di sana, saya punya tugas terakhir yang perlu saya selesaikan sebelum saya melepaskan posisi saya dan semua itu melibatkan dia. Sebaik sahaja semua kerja yang terbengkalai itu siap, saya mengambil peluang untuk berbual-bual dengan dia. Saya bertanya perihal keluarga dan apa yang dia rasa bertugas di samping saya untuk waktu yang amat sekejap itu. Alhamdulillah dia memberikan respon yang baik dan dari situlah saya mula mengenali dengan lebih dalam siapa sebenarnya pembantu saya ini. Namun, apa yang memang boleh saya nampak dengan jelas, dia amat pemalu dan dia amat kekok semasa bercakap dengan saya. Selepas itu barulah saya tahu, sayalah lelaki pertama yang pernah berbual-bual dengan dia bukan atas urusan rasmi sebegitu. Di situlah saya mula menyimpan perasaan, tapi tidak pernah saya zahirkan sehinggalah saya berada jauh beribu batu daripadanya.

Semasa saya berada di Jordan, saya menghubunginya kembali dan menyatakan hasrat saya secara halus agar dia tidak terkejut. Alhamdulillah, dia menerima dengan baik dan hubungan kami berjalan lancar selama empat bulan sebelum saya balik bercuti ke Malaysia. Kadang-kadang saya terlalai dalam menjaga hubungan kami dan dialah yang mengingatkan. Dialah yang meminta agar kami mengehadkan mesej-mesej kami agar tidak terlalu kerap. Semua itu menguatkan hubungan kami dan bagi saya dialah teman hidup yang sempurna buat saya.

Walau bagaimanapun, sewaktu saya pulang ke Malaysia bulan lepas, ummi dapat menghidu perhubungan kami. Saya tahu ummi tidak berapa suka anak-anaknya bercinta tetapi saya tidak pernah menjangka ummi akan menghalangnya. Tetapi perhitungan saya silap, amat silap.

Buat pertama kali, adik perempuan saya memberitahu ummi sudah tahu perihal saya dan ummi tidak suka. Saya tidak pernah menganggapnya sesuatu yang serius sehinggalah ummi bercakap secara peribadi dengan saya pada satu hari. Saya masih ingat lagi kata-kata ummi yang buat saya tak mampu membalas walau sepatah.

"I haven't found any entry in Islam that permit what you are doing right now. I haven't heard from anyone that love before marriage is permitted. But I know there's no relationship between male and female except for what is very important and official between them. So, may I know what kind of relationship you are having now and I want to hear it from your mouth that it is legal in what you have been learning until now."

"Not a single phrase, nor a word."

"My sweetheart, if you want to build a family, a faithful one, you can never build it on what Allah has stated as wrong and proven false by the way Rasulullah p.b.u.h has taught us. A happy and blessed family come from Allah, and you don't even have anything to defend it as blessed if the first step you make is by stepping into what He has prohibited. You can't have a happy family if Allah doesn't help you so, and you must know in every family that stands until their dying day, they have Allah on their side. You can't expect Him to help you if you did the wrong step from the very beginning."

Saya tiada kata untuk membalas kerana semuanya benar. Saya tahu kebenaran itu sudah lama dulu, tetapi saya tak mampu untuk melawan kehendak nafsu saya sendiri. Saya akui, saya tertipu dengan apa yang dipanggil fitrah, dan apa yang dipanggil sebagai keperluan manusia. Cinta tak pernah membawa kita ke mana, andai cinta itu bukan dalam lingkungan yang Allah redha. Tiada cinta yang Allah benarkan kecuali selepas tali perkahwinan mengikatnya. Itulah apa yang telah saya pelajari lama dahulu dan dari semua kitab Fiqh yang saya baca, tiada satu pun yang menghalalkannya. Saya tahu kebenaran ini sudah lama dahulu, tetapi saya tidak kuat untuk menegakkannya. Saya tidak mampu untuk menundukkan kemahuan hati saya. Dan kata-kata ummi memberikan saya kekuatan untuk bangkit kembali dari kesilapan saya selama ini.

Ummi berkata:

"It's not me who want you to make a decision like this, but Allah tells you so."

Saya percaya, itulah yang terbaik buat saya dan dia. Dengan kekuatan itulah saya terangkan kepadanya, dan alhamdulillah dia faham. Amat faham. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir, tetapi dia tahu itulah yang terbaik buat kami. Dia meminta maaf kepada ummi kerana menjalinkan hubungan yang tidak sah dengan saya, tetapi ummi memberi isyarat, janganlah bimbang. Andai ada jodoh kamu berdua, insya-Allah, Dia akan temukan kamu dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang.

Hidup saya sekarang lebih tenang kerana tiada apa yang menggusarkan hati saya lagi. Hidup saya lebih suci dan saya boleh bercakap kembali tentang agama saya dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Bagi saya, dan dia, inilah saat untuk kami muhasabah kembali diri kami dan kami betulkan kembali segala kesilapan yang telah kami buat. Inilah saat untuk kami kejar kembali cita-cita kami dan sediakan diri untuk menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali keterlanjuran kami dahulu dan memohon moga-moga Allah sudi maafkan kami.

Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku.

Walau bagaimanapun, perpisahan ini hanya untuk sementara. Saya telah berjanji dengan diri saya sendiri, dialah yang akan jadi teman hidup saya nanti. Sesungguhnya pencarian saya untuk seorang calon isteri telah berakhir. Insan seperti dia hanya satu dalam seribu. Mana mungkin saya melepaskan apa yang amat berharga yang pernah hadir dalam hidup saya. Insya-Allah, sekiranya Allah s.w.t panjangkan umur, sebaik sahaja saya tamatkan pengajian saya di sini, saya akan kembali ke Malaysia dan melamarnya untuk menjadi permaisuri di hati saya. Insya-Allah, saya akan setia menunggu saat itu, dan saya akan berusaha sedaya-upaya saya untuk mengekalkan kesetiaan saya.

"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya."

Siapakah lagi dalam dunia ini yang menjaga adab berjalan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s dan puteri Nabi Syuaib a.s beribu-ribu tahun dahulu?

Mafraq, Jordan

keredhaan -MU ku pohonkan dlm meniti perjalanan hidupku..insyallah..












lelaki idaman saya...;-)         

Lelaki idaman saya adalah seorang lelaki yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa takqwa pada Allah
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar


Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menjaga tuturkatanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menghormati ibunya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat

Lelaki idaman saya sentiasa bersedia untuk menjadi imam
Yang hidup dibawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang menjaga matanya dari berbelanja
Yang sujud penuh kesyukuran dengan rahmat Allah keatasnya

Lelaki idaman saya tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana penat membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangunnya subuh penuh kecergasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki idaman saya sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga
Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki idaman saya adalah lelaki
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan syurga
Di situlah rumah idamannya
Dan dia ingin membawa saya bersama
Dialah lelaki idaman saya

Sunday, October 7, 2012

MUHASABAH CINTA..


Cinta Kepada Allah, Itulah yang Hakiki

Cinta bagaikan lautan, sungguh luas dan indah. Ketika kita tersentuh tepinya yang sejuk, ia mengundang untuk melangkah lebih jauh ke tengah, yang penuh rintangan, hempasan dan gelombang pada siapa sahaja yang ingin mengharunginya. Namun carilah cinta yang sejati, di lautan cinta berbiduk takwa berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, insyaAllah kita akan sampai kepada tujuannya iaitu: cinta kepada Allah, itulah yang hakiki, yang kekal selamanya. Adapun cinta kepada makhlukNya, pilihlah cinta yang hanya berlandaskan kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Bukan kerana pujuk rayu syaitan, bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda.

Cintailah Allah, berusahalah untuk menggapai cintaNya. Menurut Ibnu Qayyim, ada 10 perkara yang menyebabkan orang mencintai Allah SWT:
1. Membaca Al-Quran dan memahaminya dengan baik.
2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan solat sunat sesudah solat wajib.
3. Selalu menyebut dan berzikir dalam segala keadaan dengan hati, lisan dan perbuatan.
4. Mengutamakan kehendak Allah di saat berbenturan dengan kehendak hawa nafsu.
5. Menanamkan dalam hati Asma’ul Husna dan sifat-sifatnya dan memahami maknanya.
6. Memperhatikan kurnia dan kebaikan Allah kepada kita.
7. Menundukkan hati dan diri ke pangkuan Allah.
8. Menyendiri bermunajat dan membaca kitab sucinya di waktu malam ketika orang sedang nyenyak tidur.
9. Bergaul dan berkumpul bersama orang-orang soleh, mengambil hikmah dan ilmu dari mereka.
10. Menjauhkan sebab-sebab yang dapat menjauhkan kita daripada Allah.

Sunday, August 5, 2012

CINTA HAKIKI..


Telah lama cinta terbiar
Dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar
Dari cinta hakiki
Telah sekian lamanya
 Manusia dibuai cinta nafsu
Kita sering menyangka
Cinta manusia itu yang sejati

Namun lupakah kita
Cinta nafsu selalu mengecewakan
Sering berubah tidak menentu
Seperti pantai dipukul ombak

Cinta kan Allah cinta sebenarnya
Itulah  cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan yang Esa

Telah lama cinta terbiar
Dari cinta yang suci
Cintakan Allah tiada kecewa
Engkau kan tenang di waktu susah
Kembalilah kepada Tuhan
Dia kan tetap menanti   
 Kehadiran hambaNya yang sebenarnya pasrah
cinta kasih sayangnya tidak bertepi

Tuesday, July 31, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Kareem..

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
lme doh xupdate blog nih..skang pn dh msuk bln Ramadhan..meh nk citer cket psal bln Rmadhan nih..

Sebut mengenai bulan Ramadan al-Mubarak, pasti mendatangkan 1001 persoalan dalam diri masing-masing sebagai muslim dan mukmin. Mungkin ada yang akan bertanya, sudah bersediakah diriku menyambutnya? Atau mungkin ada yang tidak sabar-sabar menanti ketibaanya. Atau mungkin ada yang menganggap tidak kisah pun mengenai kedatangan Ramadan. Tanya iman, di manakah diri kita?
Tidak salah jika dikatakan Ramadan al-Mubarak ini seperti majlis walimatul urus, pasti seisi keluarga dan jiran terdekat, sibuk menyiapkan persiapan terakhir menjelang tarikh tersebut. Riuh satu kampung dengan kemeriahan menyambut majlis besar seperti itu. Namun, bagaimana pula dengan persediaan kita menyambut sebaik-baik bulan ini? Adakah seperti menyambut menantu atau seperti bertemu dengan hantu? Membelai-belai tetamu atau menghalau-halau seteru?
Satu perkara menarik yang ingin disentuh adalah mengenai sikap dan perlakuan kita terutamanya yang bergelar perempuan. Tiba bulan ini, pasti kaum Hawa menjadi golongan yang sibuk meraikannya. Ramadan Kareem dan kaum Hawa ibarat isi dengan kuku. Terlalu hampir dan dekat. Tidak dapat dipisahkan kedua-duanya. Apakah yang sering membelenggu kaum Hawa apabila tibanya bulan mulia ini?
Kefardhuan Puasa Ramadan
Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan telah disebut Allah s.w.t sepertimana firmanNya yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
(Surah Al-Baqarah ayat 183)
Jelas, dalam ayat ini perkataan 'taqwa' disebut selepas perintah kewajipan berpuasa. Orang-orang yang bertaqwa adalah mereka yang berpuasa. Namun belum tentu orang-orang yang berpuasa adalah orang yang bertaqwa. Jika kita lihat, ada orang yang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat, mengutamakan ibadah sunat dari ibadah fardu dengan meninggalkan solat yang lima waktu tetapi menunaikan solat sunat tarawih. Ada pula yang berpuasa tetapi enggan membayar zakat.
Adakah hanya dengan berpuasa, maka Allah mengira mereka ini adalah orang yang bertaqwa? Bagaimana ukuran taqwa yang dimaksudkan Allah Ta'ala dalam ayat ini?
Taqwa itu tempatnya di hati. Bukan hati kering, tapi hati yang sihat yang dapat merasai bencinya melakukan kemungkaran dan seronoknya melakukan kebajikan. Hatinya sensitif dengan dosa dan dahagakan kebaikan. Telah dinukilkan sebuah kisah oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mengenai kisah Saidina Umar al-Khattab.
Suatu hari, Saidina Umar al-Khattb bertanya kepada sahabatnya, Ubai bin Ka'ab mengenai makna taqwa dan persoalan itu dibalas dengan persoalan.
Ubai berkata kepada Syaidina Umar, "Ya Amirul mukminin, pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?" .  
"Pernah." Jawab Syaidina Umar.
Lantas Ubay bertanya lagi kepada Syaidina Umar. "Bagaimana kamu lakukan ketika melalui jalan itu?"

"Aku akan sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri." Jawab Syadina Umar.
" Maka itulah juga sifat taqwa" ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)
Terang lagi bersuluh, betapa sifat taqwa di dalam kisah ini bermula dari sekeping hati. Hati yang merasa takut pastinya akan lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak akan terjerumus di dalam kebinasaan.Walaupun perkara itu hanyalah makhruh dan tidak mendatangkan dosa, namun hatinya tetap merasa gerun dan berhati-hati daripada melakukan perkara tersebut. Bimbang dirinya akan terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram. Begitulah hati orang-orang yang 'muttaqin'
 Maka perlulah kita mengambil kisah ini sebagai iktibar untuk kita agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, kerana dari tindakan kita itulah yang menentukan samada kita mampu menempah bilik untuk di syurga atau bilik yang lain yang berada di neraka. Jadikanlah Taqwa itu umpama pakaian kita. Yang menjaga badan kita daripada tercalit dengan dosa dan noda. Bukankah pakaian itu bersifat melindungi. Maka, demikianlah Taqwa, melindungi diri kita daripada disentuh dengan api neraka.Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
""Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat"
(Surah al-A'raf ayat 26)
Bina Iman Raihlah Taqwa
Bagi orang beriman, bulan Ramadan akan dianggap bulan 'bonus', sekiranya digunakan sebaik mungkin, besar manfaatnya. Pelbagai ganjaran dan kebaikan diberikan kepada umat Islam di bulan ini. Setiap amalan-amalan sunat yang dilakukan, pasti akan digandakan pahalanya seperti dinyatakan di dalam hadis qudsi:
"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Madrasah Ramadan al-Mubarak adalah sebaik-baik bulan untuk kita menambah debit berupa pahala di dalam akaun amalan kita. Kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan kebaikan dengan tekad ingin memenuhkan tabung kehidupan semata-mata. Maka ganjaran pahala dalam melakukan ibadat sunat dan perbuatan sunnah kita gandakan lagi. Bukan sukar untuk kita mendapat bonus dalam bulan ini.
Namun, ramainya manusia lebih mengumpul 'bonus' jualan dan 'diskaun' barangan. Berlumba-lumba menambah tabungnya dengan wang dan harta. Ramadan sebagai bulan membina iman da taqwa dipandang sebelah mata. Perilaku mulia tidak disemai di dalam diri dan peribadi, lantas nilai taqwa tidak dapat menyelam dalam dasar hatinya. Perkataannya sia-sia, apatah lafaz kalamnya jauh dari membaca Al-Quran dan zikrullah. Puasanya semata-mata hanya pada menahan lapar dan dahaga sahaja.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya :
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari)
 'Mencemar Duli' Kemuliaan Ramadan
Terdapat sesuatu yang sering dipandang 'sepi' apabila tibanya Ramadan terutama umat Islam di Malaysia ini. Apabila tiba sahaja musim Ramadan, kaum Hawa adalah antara orang yang paling sibuk meraikannya. Walaupun baru beberapa hari menjelma, sudah mula memikirkan perkara-perkara skunder. Persiapan tema warna baju raya, kuih raya yang pelbagai, keadaan rumah, rumah terbuka dan kelengkapan raya yang lain laju melintasi garisan penamat berbanding perkara primer. Manakala perkara primer seperti solat sunat tarawikh, khatam al-Quran, konsisten dengan sahur, hafazan Al-Quran, qiamullail dan sebagainya pula kadangkala diendahkan dan diketepikan.
Bukan hendak pertikai sikap ini namun perkara ini perlu seiring dengan merebut taqwa Ramadan. Saban tahun, gaya hidup wanita di Malaysia khususnya, dilihat serupa dan sukar untuk diubah. Kadang-kadang, fokusnya lebih kepada berbisnes sehingga mengabai 'bonus-bonus' pada bulan ini. Sibuk dengan tempahan kuih raya, baju raya, langsir raya dan kelengkapan raya yang lain, sehingga malam Ramadan al-Mubarak tidak disinari nur dengan amalan-amalan ibadah sunat.
Kadang-kadang, alasan 'tidak sempat dan penat' untuk berjemaah solat sunat tarawih dek kesibukan yang melanda, juga sering didengari. Jika ke bazar Ramadan, perginya hanya berteman beg dan dompet. Baliknya pula hampir keselurahan jari penuh dengan makanan berbuka.Tangan kanan dan kiri, penuh dengan beg plastik merah. Padahal di bulan Ramadan itulah adanya tarbiyah untuk kita lebih mengingati insan yang lebih memerlukan. Memahami keperitan insan yang serba kekurangan. Mendidik diri untuk lebih banyak memberi.
Namun, mengapakah tabiat ini sukar diubah di Malaysia? Adakah kerana waqi' di Malaysia tidak seperti suasana di negara-negara Arab?
Semuanya adalah kerana Hati kita belum dididik sepenuhnya dengan kelebihan Ramadan. Lantas, madrasah tarbiyah di bulan Ramadan tetap dicemari dengan sikap dan sifat kita yang sama sebelum datangnya Ramadan.
 Malaysia : Kaya makanan daripada amalan
Teringat pada musim puasa tahun lepas, 1432 H, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat yang menunutut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau menceritakan 'kehangatan' orang-orang sana menyambut bulan yang penuh barakah itu. Anak kecil memasang 'lampu kelip-kelip' di setiap rumah mereka, bermain mercun dan berkongsi kegembiraan itu bersama teman-temannya, sehingga ke awal Subuh. Subhanallah...
Jika diteliti hasil dari penceritaan tadi, jelas menunjukkan bangsa Arab lebih meraikan Ramadan Kareem,  sebaliknya umat Islam di Malaysia khususnya bangsa Melayu meraikan Hari Raya Aidil Fitri lebih meriah berbanding bulan Ramadan. Cukup berbeza.
Jika di Afghanistan, umat Islamnya mati disebabkan kelaparan dek kekurangan sumber makanan. Namun berbeza sekali di Malaysia,penuh dengan lambakan makanan sehingga boleh mengundang penyakit dan menyebabkan kematian. Banyaknya makanan meningkatkan nafsu dan selera makan. Tanpa sedar iainya memudaratkan kesihatan seperti tinggi kolestrol, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
Kawalan hebat pada musim puasa ini, dilihat kurang memberi kesan, sehingga ada pihak tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa untuk menutup kedai makanan semasa musim puasa. Sekiranya ramai pihak memain peranan, mana mungkin ada kes dicekup dek makan tengahari dan sebagainya.
Rancangan-rancangan yang dipaparkan di kaca televisyen juga menggalakkan budaya berhari raya semasa awal musim Ramadan. Cukup kuat nafsu semasa musim bulan Ramadan al-Mubarak ini. Kaum hawa sibuk ber'shopping' raya dan anak-anak pula sibuk merancang peperangan mercun sesama mereka. Kemudian, akhbar-akhbar laris dengan kisah-kisah rumah terbakar asbab api mercun, isteri tuntut cerai kerana suami gagal membagi nafkah, murid hilang jari dan sebagainya. Semakin parah kondusi adab dan akhlak rakyat Malaysia kini. Hanya kerana ingin nampak meriah di hari raya.
Kesimpulan
Oleh itu, marilah kita raih Ramadan dengan memperbaiki ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat. Tingkatkan pekerjaan positif, kurangkan tabiat negatif dalam Madrasah Tarbiyyah, mendidik jiwa ini.
Bulan Ramadan al-Mubarak ini juga adalah bulan yang sesuai untuk meningkatkan kemesraan dalam keluarga seperti berbuka puasa bersama-sama, bersahur, solat berjemaah dan sebagainya. Seorang suami yang keluar mencari nafkah, dan seorang isteri mengurusi keperluan dan kehendak keluarga, serta anak-anak yang setia membantu ibu bapanya, pasti semuanya Allah berikan ganjaran pahala yang berlimpah ruah.
Madrasah tarbiyyah di bulan Ramadan, jangan biarkan berlalu begitu saja. Sesungguhnya sangat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan peluang dan kesempatan yang ada. Maka, jadikanlah Ramadan kali ini, Ramadan yang cukup bermakna untuk kita.
Wallahu'alam....