selamat datang..!!!

Thursday, June 13, 2013

KESYUMULAN IBADAH DALAM ISLAM

Assalamualaikum..lme doh xupdate blog nih..
tetibe nk bgtau pasai bnde nih..
perlu ditekankan smula buat kita yg sering lalai n alpa..

KESYUMULAN IBADAH DALAM ISLAM

PENGERTIAN IBADAH – BAHASA & ISTILAH

Abu Al-‘Ala Al-Maududi telah mentakrifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya “Asas-asas Islam” seperti berikut:

Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat.
Istilah: Taat, tunduk, patuh dan meerendah diri kepada Allah. Jelasnya ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan, firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”                                                                                              
(Al-Baqarah: 172)

HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH

Apabila seseorang itu sudah ada aqidah yang kukuh, maka:

1. Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
            “ Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.”                                                                                                                         (Ad-Zariyat: 56)

Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadah kepada Allah semata-mata, menghambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.

1.     Menolak segala kepatuhan dan ketaatan kepada selain daripada Allah. Taghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain daripada Allah.

Firman Allah:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah taughut.”                                        
(Al-Nahl: 36)
3. Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah.


RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM

Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.

Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka berhadapan dengan Allah pada hari pembalasan nanti.

Hakikat ini ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:
                                                                                                     
“Allah yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.”      
(Al-Mulk: 2)

Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangatlah luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut.


PEMBAHAGIAN IBADAH – UMUM DAN KHUSUS

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan umum:

S Ibadah khusus

Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat tauqifiyyah iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara’ dan sebagaimana yang telah dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah SAW:

“ Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.”
(Riwayat Bukhari)

S Ibadah umum

Segala perkara atau amal selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.


SYARAT AMAL MENDAPAT STATUS IBADAH

Syeikh Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya “Ibadah dalam Islam” telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
  1. Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
  2. Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik kerana Allah.
  3. Amalan tersebut mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa saja yang ditetapkan Rasulullah SAW:

“ Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.”

  1. Ketika membuat amalan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara’ dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain atau merampas hak orang.
  2. Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.


SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH

Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan-amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ia bukannya perbuatan mengasingkan diri, ia juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud dalam syariat Islam. Namun demikian, pengaruh konsep asing ini telah dapat juga menyerap ke dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang mengganggap ibadah itu tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja; terdapat juga di kalangan umat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu selain daripada Allah. Malah terdapat juga orang yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu tidak ada kaitan langsung dengan urusan masyarakat, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Semua ini adalah tanggapan-tanggapan yang silap.


HIKMAH DAN FALSAFAH IBADAH, PUASA, ZAKAT DAN HAJI

1.         Solat

Dalam solat jelas tergambar ibadah lisan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih dan berdoa. Demikian juga dengan ibadah badan dengan berdiri, duduk, rukuk dan sujud. Terdapat di sana ibadah aqal dengan berfikir dan merenung makna Al-Quran. Di sana juga terdapat ibadah hati dengan ikhlas, khusyuk mencintai Allah dan merasakan Allah sentiasa memerhati dan mengamati hambaNya.

Solat juga menjadikan seseorang itu benar-benar menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah. Setiap kali ia bertakbir, maka ia mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah. Rasa takut dan berharap kepada Allah yang ditanamkan oleh ibadah solat ini akan memimpin di dalam seluruh hidupnya sehingga seluruh tindak-tanduknya dipengaruhi oleh sifat-sifat yang terkandung dalam solat tersebut.

2.         Zakat

Zakat bererti kesucian dan kebersihan. Ini bererti kesucian dan kebersihan jiwa seseorang mukmin tidak mungkin dapat dicapai tanpa dia memberikan hak-hak saudara-saudaranya yang miskin terhadap harta bendanya melalui zakatnya. Oleh itu zakat dalam Islam adalah salah satu dasar kepada persaudaraan Islam. Ia melenyapkan sikap mementingkan diri sendiri yang selalu menjadi punca kepada kelemahan sesuatu masyarakat. Zakat adalah di antara asas penting bagi penubuhan sebuah masyarakat Islam yang bertaqwa.

3.         Puasa

Matlamat utama puasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Dalam ibadah puasa, orang-orang beriman dilatih supaya bersedia untuk berkorban demi kepentingan Islam melalui menanggung kesusahan, kelaparan, dahaga dan keletihan. Puasa yang disyariatkan  sebulan penuh bertujuan untuk meningkatkan dalam diri setiap mukmin daya juang, keikhlasan dan sifat konsisten yang mana kesemuanya akan menambahkan ketaqwaan kepada Allah.

4.         Haji

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan  mengenderai unta yang kurus, yang datang daripada segenap penjuru yang jauh.”                                              
(Al-Hajj: 27)

Seseorang mukmin yang telah melalui seluruh proses haji ini akan kekal bersamanya pengalaman-pengalaman ibadah tersebut hinggakan kesannya tidak akan hilang selama bertahun-tahun. Malahan hatinya sentiasa akan rindu untuk terus berkunjung semula ke Tanah Suci demi untuk mencurahkan rasa cintanya kepada Allah SWT di RumahNya.


KEPENTINGAN IBADAH DALAM MEMBINA UMMAH

Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikan kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang khusyuk dan benar akan mempengaruhi seluruh kehidupan pelakunya hinggakan ia akan merasa jijik dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”                                                                                      
(Al-Ankabut: 45)

Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambahkan rezeki dan pendapatan adalah salah satu tujuan sahaja, iaitu untuk mendapat keredhaan Allah dengan mengeluarkannya sebagai sedekah dan zakat serta jihad fisabilillah.

Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa dalam jiwa mukmin akan menjadikannya seorang yang ikhlas sepenuh hatinya dalam melaksanakan perintah-perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan peribadinya.

Manfaat haji yang besar ialah dorongan bagi seluruh umat Islam bagi memperkukuhkan kesatuan mereka kerana inilah tunjang kekuatan mereka yang paling utama sebagai pemimpin manusia sejagat.

Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah SWT.


BAHAN RUJUKAN :

1.             Konsep-konsep Umum Islam – Abu ‘Urwah.
2.             Al-‘Ibadah Fi Al-Islam – Dr. Yusof


wallahu a'lam..