Assalamualaikum..
uihhhh..lme bebenor x update kat blog nih..b'sawang brape inci xtau ler..ngeh3..
cnie ade entry bru nk share...
bab CINTA..kih3..gatai naaa..
“Ustaz,
bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa
belajar? Apakah kaedah yang boleh digunakan?”, tanya seorang peserta kepada
saya di dalam ceramah Aku Terima Nikahnya, anjuran Nisa’ WP tempoh hari.
“Oleh kerana kita sudah berbicara tentang
kuasa cinta, maka saya berpandangan, cinta tidak boleh dilawan dan
tidak boleh dilayan. Untuk menjadi mangsa kuasa cinta, tidak perlu
melayan cinta, sebaliknya melawan cinta juga sama kesannya”, saya memberikan
jawapan.
Saya bukan Profesor Serba Tahu yang ada
jawapan untuk semua soalan. Maka jawapan-jawapan saya lebih kepada perkongsian.
Mana yang baik, jadikan teladan. Mana yang buruk, jadikan sempadan.
Soal melayan cinta, memang tidak sukar
melihat akibatnya. Sudah banyak kali saya perkatakan sebelum ini berkenaan
kesan melayan cinta tanpa kebarangkalian cinta itu mencapai perkahwinan.
Tetapi soalnya kali ini ialah perbuatan melawan
cinta.
Peserta tersebut bertanyakan kepada saya,
apakah dengan mengelakkan diri daripada mendengar lagu cinta termasuk nasyid
cinta, maka dirinya boleh terelak daripada terjebak ke dalam cinta.
Hakikatnya, cinta tidak perlu dilayan atau
dilawan. Hanya dengan mengingatinya dengan cara apa sekali pun, seseorang itu
sudah pun duduk di bawah pengaruh cinta. Mengingati cinta lalu melayannya, ada
akibat yang kita sedia maklum. Mengingati cinta lalu melawannya, juga ada kesan
yang tidak baik.
“Macam mana cara orang melawan cinta?”, saya
bertanya.
Peserta tersenyum-senyum. Begitu juga dengan
penyoal.
“Bercakap kasar dengan lelaki atau bercakap
pedas dengan perempuan?”, saya mengemukakan cadangan tentang cara biasa melawan
cinta.
MELAWAN CINTA
Biasa benar saya bertemu dengan muslimat yang
mahu melawan cinta, bercakap dengan lelaki seperti seorang askar bertitah
kepada anak buahnya. Kalau sekali pun al-Quran menganjurkan perempuan supaya
jangan melunakkan suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi, tidak
pula sekali-kali al-Quran mengajar alternatifnya begitu.
Cakap biasa sudahlah.
Jika sudah biasa bercakap kasar dengan lelaki
kerana kononnya sedang memerangi cinta, lama-lama sudah bercinta dengan suami
pun masih terbiasa bercakap kasar. Itu penangan melawan cinta.
Sama juga dengan yang lelaki.
Kalau melawan cinta itu caranya ialah dengan
me’laser’ perempuan, bercakap yang pedas-pedas hingga teresak-esak setiap
perempuan yang berurusan dengannya, hati-hati! Jangan pula selepas berkahwin
nanti pun, bermulut pedas kerana pengalaman bujang menentang cinta, lebih lama
dari pengalaman kahwin menyuburkan cinta.
MENGELAK CINTA
Habis, apa caranya untuk mengelakkan diri
dari bercinta?
Oleh kerana lawan pun kena, layan pun sama…
maka cara terbaik mengelakkan diri dari cinta di luar masa, ialah dengan MELUPAKANNYA.
Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan
memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara
melupakannya!
Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan
cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang
lebih sesuai dengan masanya.
Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian
seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan,
aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.
Sibukkan diri dengan kerja dakwah, kerana
dakwah bukan boleh berhasil terus dengan kesediaan. Ia memerlukan latihan,
pendedahan, proses buat betul dan buat salah… dan zaman pelajarlah masa terbaik
untuknya.
Apabila tiba masa untuk berumahtangga,
barulah masukkan cinta dalam agenda ketika diri sudah pun biasa dengan
kesibukan, iaitu realiti sebenar kehidupan yang jauh dari angan-angan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
56000 Kuala Lumpur