selamat datang..!!!

Tuesday, July 31, 2012

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Kareem..

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
lme doh xupdate blog nih..skang pn dh msuk bln Ramadhan..meh nk citer cket psal bln Rmadhan nih..

Sebut mengenai bulan Ramadan al-Mubarak, pasti mendatangkan 1001 persoalan dalam diri masing-masing sebagai muslim dan mukmin. Mungkin ada yang akan bertanya, sudah bersediakah diriku menyambutnya? Atau mungkin ada yang tidak sabar-sabar menanti ketibaanya. Atau mungkin ada yang menganggap tidak kisah pun mengenai kedatangan Ramadan. Tanya iman, di manakah diri kita?
Tidak salah jika dikatakan Ramadan al-Mubarak ini seperti majlis walimatul urus, pasti seisi keluarga dan jiran terdekat, sibuk menyiapkan persiapan terakhir menjelang tarikh tersebut. Riuh satu kampung dengan kemeriahan menyambut majlis besar seperti itu. Namun, bagaimana pula dengan persediaan kita menyambut sebaik-baik bulan ini? Adakah seperti menyambut menantu atau seperti bertemu dengan hantu? Membelai-belai tetamu atau menghalau-halau seteru?
Satu perkara menarik yang ingin disentuh adalah mengenai sikap dan perlakuan kita terutamanya yang bergelar perempuan. Tiba bulan ini, pasti kaum Hawa menjadi golongan yang sibuk meraikannya. Ramadan Kareem dan kaum Hawa ibarat isi dengan kuku. Terlalu hampir dan dekat. Tidak dapat dipisahkan kedua-duanya. Apakah yang sering membelenggu kaum Hawa apabila tibanya bulan mulia ini?
Kefardhuan Puasa Ramadan
Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan telah disebut Allah s.w.t sepertimana firmanNya yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
(Surah Al-Baqarah ayat 183)
Jelas, dalam ayat ini perkataan 'taqwa' disebut selepas perintah kewajipan berpuasa. Orang-orang yang bertaqwa adalah mereka yang berpuasa. Namun belum tentu orang-orang yang berpuasa adalah orang yang bertaqwa. Jika kita lihat, ada orang yang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat, mengutamakan ibadah sunat dari ibadah fardu dengan meninggalkan solat yang lima waktu tetapi menunaikan solat sunat tarawih. Ada pula yang berpuasa tetapi enggan membayar zakat.
Adakah hanya dengan berpuasa, maka Allah mengira mereka ini adalah orang yang bertaqwa? Bagaimana ukuran taqwa yang dimaksudkan Allah Ta'ala dalam ayat ini?
Taqwa itu tempatnya di hati. Bukan hati kering, tapi hati yang sihat yang dapat merasai bencinya melakukan kemungkaran dan seronoknya melakukan kebajikan. Hatinya sensitif dengan dosa dan dahagakan kebaikan. Telah dinukilkan sebuah kisah oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mengenai kisah Saidina Umar al-Khattab.
Suatu hari, Saidina Umar al-Khattb bertanya kepada sahabatnya, Ubai bin Ka'ab mengenai makna taqwa dan persoalan itu dibalas dengan persoalan.
Ubai berkata kepada Syaidina Umar, "Ya Amirul mukminin, pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?" .  
"Pernah." Jawab Syaidina Umar.
Lantas Ubay bertanya lagi kepada Syaidina Umar. "Bagaimana kamu lakukan ketika melalui jalan itu?"

"Aku akan sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri." Jawab Syadina Umar.
" Maka itulah juga sifat taqwa" ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)
Terang lagi bersuluh, betapa sifat taqwa di dalam kisah ini bermula dari sekeping hati. Hati yang merasa takut pastinya akan lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak akan terjerumus di dalam kebinasaan.Walaupun perkara itu hanyalah makhruh dan tidak mendatangkan dosa, namun hatinya tetap merasa gerun dan berhati-hati daripada melakukan perkara tersebut. Bimbang dirinya akan terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram. Begitulah hati orang-orang yang 'muttaqin'
 Maka perlulah kita mengambil kisah ini sebagai iktibar untuk kita agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, kerana dari tindakan kita itulah yang menentukan samada kita mampu menempah bilik untuk di syurga atau bilik yang lain yang berada di neraka. Jadikanlah Taqwa itu umpama pakaian kita. Yang menjaga badan kita daripada tercalit dengan dosa dan noda. Bukankah pakaian itu bersifat melindungi. Maka, demikianlah Taqwa, melindungi diri kita daripada disentuh dengan api neraka.Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
""Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat"
(Surah al-A'raf ayat 26)
Bina Iman Raihlah Taqwa
Bagi orang beriman, bulan Ramadan akan dianggap bulan 'bonus', sekiranya digunakan sebaik mungkin, besar manfaatnya. Pelbagai ganjaran dan kebaikan diberikan kepada umat Islam di bulan ini. Setiap amalan-amalan sunat yang dilakukan, pasti akan digandakan pahalanya seperti dinyatakan di dalam hadis qudsi:
"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Madrasah Ramadan al-Mubarak adalah sebaik-baik bulan untuk kita menambah debit berupa pahala di dalam akaun amalan kita. Kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan kebaikan dengan tekad ingin memenuhkan tabung kehidupan semata-mata. Maka ganjaran pahala dalam melakukan ibadat sunat dan perbuatan sunnah kita gandakan lagi. Bukan sukar untuk kita mendapat bonus dalam bulan ini.
Namun, ramainya manusia lebih mengumpul 'bonus' jualan dan 'diskaun' barangan. Berlumba-lumba menambah tabungnya dengan wang dan harta. Ramadan sebagai bulan membina iman da taqwa dipandang sebelah mata. Perilaku mulia tidak disemai di dalam diri dan peribadi, lantas nilai taqwa tidak dapat menyelam dalam dasar hatinya. Perkataannya sia-sia, apatah lafaz kalamnya jauh dari membaca Al-Quran dan zikrullah. Puasanya semata-mata hanya pada menahan lapar dan dahaga sahaja.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya :
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari)
 'Mencemar Duli' Kemuliaan Ramadan
Terdapat sesuatu yang sering dipandang 'sepi' apabila tibanya Ramadan terutama umat Islam di Malaysia ini. Apabila tiba sahaja musim Ramadan, kaum Hawa adalah antara orang yang paling sibuk meraikannya. Walaupun baru beberapa hari menjelma, sudah mula memikirkan perkara-perkara skunder. Persiapan tema warna baju raya, kuih raya yang pelbagai, keadaan rumah, rumah terbuka dan kelengkapan raya yang lain laju melintasi garisan penamat berbanding perkara primer. Manakala perkara primer seperti solat sunat tarawikh, khatam al-Quran, konsisten dengan sahur, hafazan Al-Quran, qiamullail dan sebagainya pula kadangkala diendahkan dan diketepikan.
Bukan hendak pertikai sikap ini namun perkara ini perlu seiring dengan merebut taqwa Ramadan. Saban tahun, gaya hidup wanita di Malaysia khususnya, dilihat serupa dan sukar untuk diubah. Kadang-kadang, fokusnya lebih kepada berbisnes sehingga mengabai 'bonus-bonus' pada bulan ini. Sibuk dengan tempahan kuih raya, baju raya, langsir raya dan kelengkapan raya yang lain, sehingga malam Ramadan al-Mubarak tidak disinari nur dengan amalan-amalan ibadah sunat.
Kadang-kadang, alasan 'tidak sempat dan penat' untuk berjemaah solat sunat tarawih dek kesibukan yang melanda, juga sering didengari. Jika ke bazar Ramadan, perginya hanya berteman beg dan dompet. Baliknya pula hampir keselurahan jari penuh dengan makanan berbuka.Tangan kanan dan kiri, penuh dengan beg plastik merah. Padahal di bulan Ramadan itulah adanya tarbiyah untuk kita lebih mengingati insan yang lebih memerlukan. Memahami keperitan insan yang serba kekurangan. Mendidik diri untuk lebih banyak memberi.
Namun, mengapakah tabiat ini sukar diubah di Malaysia? Adakah kerana waqi' di Malaysia tidak seperti suasana di negara-negara Arab?
Semuanya adalah kerana Hati kita belum dididik sepenuhnya dengan kelebihan Ramadan. Lantas, madrasah tarbiyah di bulan Ramadan tetap dicemari dengan sikap dan sifat kita yang sama sebelum datangnya Ramadan.
 Malaysia : Kaya makanan daripada amalan
Teringat pada musim puasa tahun lepas, 1432 H, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat yang menunutut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau menceritakan 'kehangatan' orang-orang sana menyambut bulan yang penuh barakah itu. Anak kecil memasang 'lampu kelip-kelip' di setiap rumah mereka, bermain mercun dan berkongsi kegembiraan itu bersama teman-temannya, sehingga ke awal Subuh. Subhanallah...
Jika diteliti hasil dari penceritaan tadi, jelas menunjukkan bangsa Arab lebih meraikan Ramadan Kareem,  sebaliknya umat Islam di Malaysia khususnya bangsa Melayu meraikan Hari Raya Aidil Fitri lebih meriah berbanding bulan Ramadan. Cukup berbeza.
Jika di Afghanistan, umat Islamnya mati disebabkan kelaparan dek kekurangan sumber makanan. Namun berbeza sekali di Malaysia,penuh dengan lambakan makanan sehingga boleh mengundang penyakit dan menyebabkan kematian. Banyaknya makanan meningkatkan nafsu dan selera makan. Tanpa sedar iainya memudaratkan kesihatan seperti tinggi kolestrol, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
Kawalan hebat pada musim puasa ini, dilihat kurang memberi kesan, sehingga ada pihak tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa untuk menutup kedai makanan semasa musim puasa. Sekiranya ramai pihak memain peranan, mana mungkin ada kes dicekup dek makan tengahari dan sebagainya.
Rancangan-rancangan yang dipaparkan di kaca televisyen juga menggalakkan budaya berhari raya semasa awal musim Ramadan. Cukup kuat nafsu semasa musim bulan Ramadan al-Mubarak ini. Kaum hawa sibuk ber'shopping' raya dan anak-anak pula sibuk merancang peperangan mercun sesama mereka. Kemudian, akhbar-akhbar laris dengan kisah-kisah rumah terbakar asbab api mercun, isteri tuntut cerai kerana suami gagal membagi nafkah, murid hilang jari dan sebagainya. Semakin parah kondusi adab dan akhlak rakyat Malaysia kini. Hanya kerana ingin nampak meriah di hari raya.
Kesimpulan
Oleh itu, marilah kita raih Ramadan dengan memperbaiki ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat. Tingkatkan pekerjaan positif, kurangkan tabiat negatif dalam Madrasah Tarbiyyah, mendidik jiwa ini.
Bulan Ramadan al-Mubarak ini juga adalah bulan yang sesuai untuk meningkatkan kemesraan dalam keluarga seperti berbuka puasa bersama-sama, bersahur, solat berjemaah dan sebagainya. Seorang suami yang keluar mencari nafkah, dan seorang isteri mengurusi keperluan dan kehendak keluarga, serta anak-anak yang setia membantu ibu bapanya, pasti semuanya Allah berikan ganjaran pahala yang berlimpah ruah.
Madrasah tarbiyyah di bulan Ramadan, jangan biarkan berlalu begitu saja. Sesungguhnya sangat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan peluang dan kesempatan yang ada. Maka, jadikanlah Ramadan kali ini, Ramadan yang cukup bermakna untuk kita.
Wallahu'alam....

Tuesday, February 14, 2012

SAHABAT..

Erti SAHABAT

Sebagai TEMAN dan RAKAN di ranjau kehidupan
Bersatu dua hati kerana cinta Rabbi
Bukan kerana kasih akan dunia dan kesenangan isinya
Di dalam jiwa tersemai kasih, mahabbah dan keikhlasan
Mengatasi batas rupa, warna dan keturunan.

Pilihlah SAHABAT

Kerana SAHABAT yang ikhlas memimpin tanganmu
melakukan kebaikan
Wangian dirinya akan terpalit jua pada dirimu
Kerana tanpa kamu sedari SAHABAT adalah cermin peribadi
Hodoh pilihanmu, maka hodohlah pekertimu
Murni pilihanmu, maka indahlah budimu
Jadi awas ketika memilih SAHABAT
Andai tidak mahu langkahmu tempang..

Muhajirin dan Ansar

Disatukan Nabi kerana ikatan akidah
Antara asas kekuatan terbangunnya kerajaan Madinah
Muhajirin yang dipersaudarakan memiliki hati yang
tulus dan suci
Ansar yang menyambut persaudaraan rela terkorban
segalanya
Ikatan mereka jauh daripada hasad dengki
Kerana kasih sayang yang disemai bertunjangkan cinta Rabbi.

Hargailah perSAHABATan

Ia adalah nikmat yang tidak terhingga
Jua tidak mampu diungkap dengan kata-kata
Hati-hati yang bersatu kerana cintakan Tuhan
Rindu untuk bertemu dan sedih untuk berpisah
Namun semuanya disandarkan kerana ALLAH..

Saturday, September 10, 2011

Wahai Daie... Jangan Lemah

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah..
dpt gop update blog ari nih..ana nk share something la dgn sume..dr apa yg ana bce kat satu laman web mih..copy n share kat sume orang..huhu..minta dihalalkan yerk..!!artikel nih ditujukan kepada para da'ie..insyaAllah bleh meningkatkan semangat utk berdakwah..

Allah... Ujian-Mu silih berganti. Semakin aku menapak di jalan ini, semakin aku diuji. Benarlah jalan ini bukan mudah dilalui. Memang adakalanya aku seakan penat tetapi aku tahu, tidak sepatutnya aku bersikap lemah apalagi menyerah. Maka di saat ini, aku nukilkan sedikit hikmah buat pemangkin diri juga sebagai tatapan mereka yang ingin sama-sama menguatkan diri..
Wahai daie... Janganlah kamu berasa lemah. Tatkala dilambung ombak cabaran. Sedarlah, itu adalah tarbiyah Allah buatmu. Memang, sesekali diuji itu perit, pedih dan menyakitkan. Membuat air matamu gugur satu persatu. Tetapi itu bukan sebab untuk menyerah.
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala mata-mata manusia melihatmu pelik, jelik malah merendah-rendahkanmu. Bersabarlah... Ingat kembali sabda Rasul S.A.W mafhumnya :
Islam itu datangnya dalam keadaan dagang dan akan kembali dagang. Beruntunglah mereka yang menggenggamnya ketika ia kembali dagang. [H.R Muslim]
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala hati-hati yang ingin kau ajak ke arah kebaikan menolak ajakanmu. Ingatlah... Hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi kepada siapa yang dikehendaki yakni hamba-hamba yang terpilih, yang berusaha mencari cahaya-Nya. Jangan lekas kecewa dan putus asa. Tugasmu hanya menyeru dan tiap usahamu ada nilainya di sisi Pencipta (sekiranya hati ikhlas kerana-Nya).
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Tatkala kau mewakafkan diri untuk agama ini dan memilih untuk hidup di jalan Allah, maka kau harus bersedia untuk mengharungi liku-likunya. Kau harus tahu jalannya itu licin, curam dan berduri. Terluka itu biasa dan kau harus terima.
Wahai daie... Jangan kamu berasa lemah. Meskipun dalam hati terasa berat saat melalui jalan ini. Sukar dan melelahkan. Banyak yang perlu kau korbankan (terutamanya keinginan hawa nafsu). Namun, harus kau tahu dan yakin bahawa ada bahagia di Sana. Bahagia yang tidak bisa dirasai oleh mereka yang ingin hidup biasa-biasa saja. Ada keindahan yang tidak mungkin ditemukan jika memilih untuk hidup untuk dunia semata-mata. Kebahagian dan keindahan itu bisa diraih bila hatimu kau dekatkan dengan Pencipta. Keperitan, kesakitan dan kelelahan seolah-olah 'terbius' oleh kecintaan kepada-Nya.
Wahai daie... Andai kau berasa lemah itu bukan salahmu kerana kau hanyalah manusia biasa. Kerana itu Allah S.W.T telah memotivasikan kita, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. [Ali-Imran 3:139]
Ingatlah, di penghujung hayat kita akan kembali kepada-Nya dan jalan ini satu-satunya jalan selamat untuk bertemu dengan-Nya..
Sesekali terjatuh itu biasa. Tetapi jangan jatuh hingga tak bangun-bangun, itu parah. Hakikatnya nasihat ini untukku. Aku tidak ingin selamanya berasa lemah. Aku harus bangkit dan bersemangat sentiasa. Sungguh, motivasi yang paling penting bermula dari dalam diri.
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat Belas-Lasihan akan hamba-hamba-Nya. [al-Baqarah 2:207]
Kuatlah sahabatku...

Wednesday, September 7, 2011

Renungan Hadis Hari Ini

Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id r.a. yang bermaksud:

"Wajib ke atasmu bertakwa kepada Allah kerana takwa merupakan himpunan segala kebaikan.
Wajib ke atasmu tetap berjihad kerana jihad merupakan ibadah orang Islam.
Dan wajib ke atasmu tetap dalam mengingati Allah kerana Zikrullah itu merupakan cahaya bagimu."


(Riwayat Ibnu al-Dharis)

wallahu a'lam...

Sunday, July 31, 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

"Allahumma Ballighna Ramadhan.Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan "
Beberapa hari lagi menjelang,tibalah bulan Ramadhan.Adakah bulan ini menjadi simbol keraian atau sekadar adat tahunan?Ini yang perlu kita teliti dan fahami.
Kepada seorang musafir yang dahagakan air di tengah perantauan yang panjang inilah detiknya buat hilangkan sisa dahaga.Kepada perantau yang sesat tanpa arah tujuan inilah jalannya membetulkan haluan yang tersasar.
Sudah tentu bagi Si Abdi hatinya penuh dengan bebunga keriangan.Manakan tidak, ibadah sehari mampu menyamai ibadah seribu bulan. Seorang pekerja yang bekerja ikhlas kepada tuannya akan menerima ganjaran yang setimpal dengan usahanya.Di kala zaman Rasulullah  seorang sahabat bertanya : "Apakah itu malam Qadar wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Tidak, tidakkah kamu mengetahui bahawa para pekerja, apabila mereka selesai dari pekerjaannya, nescaya akan dibayar upahnya". (Hadis Hasan, Riwayat al-Baihaqi dalam kitab Syua'b al-Iman: 3450)
Hati ini berdesir seketika, di sebalik singkapan Ramadhan, kebanyakan umat Islam tampaknya sering lalai dan lupa.Mereka merasakan bulan Ramadhan ini hanyalah sekadar berpuasa.Kita dapat melihat sendiri di negara kita ini.Bukan ganjaran pahala diutamakan namun santapan makanan didahulukan.Bukan masjid diimarahkan malangnya pasar ramadhan jadi tumpuan. Bukan Al-quran jadi peneman, namun tidur yang diimpikan. Namun di sini sebenarnya saya ingin katakan bukan semuanya masyarakat Malaysia yang beragama islam begitu namun kebiasaan fenomena atau situasi, inilah yang terjadi.
Jika begitu dimana kemeriahan Ramadhan ?Di mana keindahan nya?Adakah ia terletak pada makanan.Atau ganjaran pahalanya?Ayuh kita fikirkan bersama.
Sesungguhnya bulan Ramadhan ini hanyalah sekali sahaja setahun.Ia datang ibarat turunnya kepingan emas dari langit selama 30 hari tanpa henti. Adakah kita hanya ingin menangguk dagu sahaja?Sudah tentu kita akan melakukan sesuatu untuk meraihnya ,bukan?Sebab apa saya katakan begitu kerana bilah-bilah hari kehidupan kita sebenarnya semakin sedikit dari sehari ke sehari, kita tidak tahu detik bila kematian kita. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Ayuh jangan lepaskannya!
Rasulullah sememangnya sebaik-baik ikutan sepanjang zaman. Baginda tidak akan membiarkan umatnya terkapai-kapai dalam lembah kejahilan. Sudah tentu ada panduan dan pedoman yang diselitkan terutamanya dalam mengecap kemanisan Ramadhan.
Pertama, awasi dirimu agar sentiasa menjaga perkara wajib dan fardhu.Andai dulu solat fardhu dilewatkan tapi kini disegerakan ,andai dulu zakat dilupakan tapi kini hadir sebagai penyumbang budiman.Andai dulu puasa ditinggalkan namun kini dicukupkan kiraan.
Kedua, perbanyakkanlah olehmu amalan-amalan sunat yang mampu menampung dosa dan kesumat.Jadikanlah di bulan ini titik mula perubahan. Bila lagi kita ingin bergerak ke arah satu dimensi yang lebih indah iaitu di bawah payung mahabbah Allah.Oleh itu, jadikanlah kitabul Quran sebagai peneman, Qiamullai itu sebagai rutin harian, zikir kepada Allah sebagai bualan dan amalkan sedekah yang berterusan.
Ketiga,hindari dirimu ke jurang perbuatan haram kerana ianya mampu memusnahkan binaan amalan kebaikan. Jagalah hati daripada dikotori, kerana ia adalah raja. Jagalah mata daripada dosa, kerna ianya pemula nestapa. Jagalah mulutmu daripada umpat dan cela kerna ianya punca bahaya. Jangan sesekali kita biarkan anggota kita melakukan maksiat, kerana ianya hanyalah pinjaman. Bila- bila sahaja nikmat ini boleh ditarik. Janganlah kalian berasa hairan kerana ia bukan milik kita yang hakiki tetapi ianya adalah milik Allah yang abadi.
Keempat, elakkanlah dirimu daripada melakukan perkara makruh kerana Allah membencinya. Misalnya, mendedahkan rongga-rongga anggota badan yang terbuka kepada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti lubang mulut, telinga, hidung dan dubur. Ketika berkumur awasilah jangan berlebih sehingga tertelan.
Terakhir, di bulan yang mulia ini marilah kita menghayati dan meneliti kebesaran Allah yang maha luas. Ucaplah SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebagai tanda kehambaan. Alangkah banyaknya nikmatmu kenapa ramai manusia yang  masih buta akal dan mata hatinya. Daripada penciptaan manusia hinggalah kejadian cakerawala. Daripada ciptaan laut yang luas terbentang hinggalah gunung yang dipasakkan. Andai kita mengkaji kita akan mengerti, semakin kita belajar semakin kita melihat Allah itu maha besar. Namun satu persoalan yang masih belum terlerai. Mengapa Masih Ada Manusia Yang Mendustakan?
Di bulan yang Barakah ini ayuh kita perbaiki diri kita kearah daerah yang lebih terarah iaitu ke landasan ajaran Islam yang sebenar. Ramadhan ini boleh dikatakan sebagai madrasah tarbiyah. Jika sebelumnya kita seorang yang mudah terbakar namun selepasnya kita menjadi seorang yang sabar, jika sebelumnya kita seorang yang kedekut tetapi selepasnya segala sumbangan kita sambut, dan jika sebelumnya kita seorang pembuat maksiat namun selepasnya kita menjadi seorang ahli ibadat. Semoga perkongsian ini mampu menjana usaha kita ke arah memperoleh kemanisan Ramadhan. Alangkah indahnya Ramadhan jika begini.